LATIHAN KEM TAHUNAN SIRI 2/2018 DAN LATIHAN ASAS PERAJURIT MUDA SIRI 2/2018 REJIMEN SEMBOYAN DIRAJA PAKAR TELEKOM (AW)

Rejimen Semboyan DiRaja Pakar Telekom (Askar Wataniah), RSDPT (AW) telah menganjurkan Latihan Kem Tahunan Siri 2/2018 dan Latihan Asas Perajurit Muda Siri 2/2018 bermula pada 19hb Julai 2018 sehingga 2hb Ogos 2018 di Kolej Multimedia (Utara), Jalan Lumba Kuda, Taiping, Perak.  Kem latihan selama 2 minggu kali ini adalah di bawah anjuran 17 Skuadron RSD Pakar Telekom (AW) dan seliaan Mejar Hardi bin Yusop yang bertanggungjawab sebagai Pegawai Latih serta dibantu oleh Mejar Norehan Mohamed Noor selaku OC Latih bagi anggota sukarela.  Latihan ini telah disertai oleh 2 pegawai dan 133 anggota sukarela termasuk 42 orang Perajurit Muda.

Majlis perasmian telah di laksanakan pada 19hb Julai 2018 oleh Kapten Mohd Ansahari Bin Abdul Kudus, Pemangku Pegawai Memerintah RSD Pakar Telekom (AW) dan taklimat Latihan Kem Tahunan disampaikan oleh Mejar Hardi Bin Yusop  di Dewan Kenanga, Kolej Multimedia (Utara), Taiping, Perak.

Latihan kem ini merupakan aktiviti tahunan yang mana pengisian latihan merangkumi senaman pagi termasuk PT Tempur, latihan menembak, aktiviti abseiling dan repelling, latihan Ujian Jalan Laju 8km, kelas dan praktis pengunaan Radio Amatur, kelas baca peta, latihan pandu arah, ilmu medan perang, ujian serang hendap serta latihan dan ujian kawad.  Selain itu, anggota turut terlibat dengan proses tapisan keselamatan oleh Detasmen Keselamatan Medan cawangan Taiping, aktiviti kerohanian seperti solat subuh berjemaah pada setiap pagi, jiwa murni, majlis tahlil dan doa selamat, pertandingan sukan bola tampar dan bola sepak serta aktiviti riadah mendaki Bukit Larut bersama Pegawai Memerintah RSDPT (AW) yang baharu, Kapten Mohd Ansahari Abdul Kudus yang juga merupakan Naib Presiden, Pusat Operasi Rangkaian TM.

Pendedahan kepada latihan-latihan ini amat penting supaya anggota peka dan bersedia dalam ilmu ketenteraan yang boleh diamalkan dan mampu untuk mempraktikkan segala ilmu yang diajar demi memastikan setiap anggota sentiasa berada pada status siapsiaga.  Latihan ini juga dapat mempertingkatkan ketahanan mental dan fizikal, seterusnya dapat memupuk semangat kerjasama dalam pasukan tidak kira dalam situasi apa sekalipun.

Latihan kem diakhiri dengan majlis perbarisan penutup latihan yang telah diadakan pada 1hb Ogos 2018 di Padang Kawad 9 Rejimen Renjer DiRaja, Taiping.  Selain tetamu jemputan dari pihak tentera, majlis turut diserikan dengan kehadiran pihak pengurusan TM, antaranya Pengurus Besar Negeri Perak, Ir. Ramlam Omar, Pengurus Besar HCBD Kumpulan IT&T, En. Fairos dan wakil dari Kolej Multimedia Utara, En. Abdul Muiz Abdul Aziz.  Majlis dimulai dengan Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Memerintah RSD Pakar Telekom (AW) di antara Mejar Badrul Hisham bin Ahmad dan Kapten Mohamad Ansahari bin Abdul Kudus serta disaksikan oleh Kolonel Ahmad Saifuddin bin Talha, Pengarah Pusat Teknologi Maklumat Tentera Darat (PUSTEKMA) yang mewakili Ketua Pegawai Semboyan. Acara diteruskan dengan upacara pemakaian pangkat kepada 3 Pegawai dan 76 anggota sukarela.  Seterusnya acara ini diakhiri dengan majlis jamuan ringan penutup yang diadakan di Dewan Makan 9 Rejimen Renjer DiRaja, Taiping.  Turut diadakan, majlis serahan cenderahati daripada pihak RSDPT (AW) kepada mantan Pegawai Memerintah, Mejar Badrul Hisham bin Ahmad serta cenderahati kepada pesara-pesara anggota sukarela dan tetap, antaranya ialah Pegawai Waran 1 Mhd Muslim bin Ismail, selaku Sarjan Mejar Rejimen sukarela.  Pihak RSDPT (AW) mengucapkan terima kasih dan semoga terus sukses kepada mereka yang bersara dan telah banyak berjasa kepada pasukan.

Latihan Kem Tahunan secara rasminya berakhir pada 2hb Ogos 2018 dengan aktiviti pentadbiran seperti gotong-royong serta membersihkan penginapan, dewan kuliah, dewan makan dan kawasan sekitar.  Tahniah diucapkan kepada semua anggota yang telah berjaya dinaikkan pangkat dan para pemenang dalam pertandingan menembak, acara sukan tentera mini-log relay, ujian kecergasan am, pertandingan bola tampar dan bola sepak serta ucapan tahniah untuk semua Perajurit Muda yang telah berjaya menamatkan Latihan Asas dengan cemerlang dan jayanya.

Berikut adalah antara pemenang utama untuk pertandingan yang telah diadakan sepanjang latihan:

Johan Menembak Colt M16 Individu – Kpl Rostam bin Baharuddin

Tempat pertama Ujian Kecergasan Am (Lelaki) – Kpl Mohd Syawal Syahdan Bin Mohamed Zin

Tempat pertama Ujian Kecergasan Am (Pranita) – LKpl Irda Rahayu binti Arifin

Johan Perlawanan Bola Tampar – Pasukan anggota Tetap & PJM

Johan Perlawanan Bola Sepak – Pasukan 15SSD & 18SSD (1)

Kawad Terbaik SUK (Sukarela) – Kpl Mohd Hazren bin Mohd Ali

Kawad Terbaik PJM (Perajurit Muda) – Sig Shaik Fitri bin Noor

Perajurit Muda Terbaik – Sig Muhammad Zakir Hassan bin Khairuddin

Anugerah Khas Ketabahan – Sig Musrizal Afendi bin Ariffin

Semoga semua anggota RSDPT (AW) meneruskan semangat kerjasama serta disiplin yang telah dipelajari dan dipraktikkan sepanjang 2 minggu latihan dalam menghadapi dan mengendalikan kerja seharian serta mampu menghasilkan mutu kerja yang lebih baik.  Pantas & Pasti.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*