LATIHAN KEM TAHUNAN SIRI 1/2019 DAN LATIHAN ASAS PERAJURIT MUDA SIRI 1/2019 56 REJIMEN SEMBOYAN PAKAR TELEKOM (AW)

Pasukan 56 Rejimen Semboyan Pakar Telekom (Askar Wataniah), RSPT (AW) telah menganjurkan Latihan Kem Tahunan Siri 1/2019 dan Latihan Asas Perajurit Muda Siri 1/2019 bermula pada 21hb Februari 2019 sehingga 7hb Mac 2019 di Kolej Multimedia (Utara), Jalan Lumba Kuda, Taiping, Perak.  Kem latihan pertama bagi tahun 2019 selama 2 minggu kali ini dibawah seliaan Mejar Hardi bin Yusop yang bertanggungjawab sebagai Pegawai Latih serta dibantu oleh Mejar Norehan Mohamed Noor selaku OC Latih bagi anggota sukarela.  Latihan ini telah disertai oleh 4 pegawai dan 167 anggota sukarela termasuk 12 orang Perajurit Muda.

Sebagai persiapan pendahuluan, taklimat latihan telah disampaikan oleh Mejar Hardi bin Yusop di Dewan Kenanga, Kolej Multimedia (Utara), Taiping, Perak manakala majlis perasmian telah di laksanakan pada 22hb Februari 2019 oleh Penolong Pegawai Memerintah, Lt Kol Abdul Wahid bin Abu Bakar di Lapang Sasar Sungai Ranting, Taiping Perak.

Buat julung kalinya, latihan kali ini telah dimulakan dengan acara Latihan Menembak Pegawai Kanan RSD bersama Kumpulan Pengurusan TM yang telah di adakan di Lapang Sasar Sungai Ranting, Taiping Perak pada 23hb Februari 2019.  Pasukan sangat berbesar hati menerima tetamu-tetamu di kalangan Pengurusan TM antaranya Datuk Bazlan Osman, Ahli Lembaga Pengarah Eksekutif, En. Imri Mokhtar, Pemangku Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, En. Farid bin Basir, Ketua Pegawai Pengurusan Modal Insan TM, Kapt (B) Ir Ts Azizi bin A Hadi, Ketua Pegawai Eksekutif TM One, Pengurus Besar Negeri Perak, Ir. Ramlan Omar dan beberapa orang wakil pengurusan lagi.  Majlis turut diserikan dengan kehadiran pegawai kanan RSD antaranya Kolonel Hj Abdul Kadir bin Hj Mohd Ali, Pengarah Semboyan yang turut mewakili Ketua Pegawai Semboyan serta lain-lain pegawai.

Kehadiran barisan pengurusan TM dan pegawai kanan RSD merupakan satu platform untuk mereka mengenali anggota TM khasnya yang telah memberikan komitmen menyertai lathan kem tahunan serta sebagai anggota askar wataniah amnya.  Anggota pasukan 56 RSPT (AW) sangat teruja dan menghargai peluang untuk beramah mesra serta tidak melepaskan peluang bergambar bersama barisan kenamaan yang telah hadir.

Pada tahun ini juga buat pertama kali, pasukan telah mendapatkan perkhidmatan drone daripada unit Mers 999 untuk membuat liputan penggambaran semasa acara Latihan Menembak Pegawai Kanan RSD bersama Kumpulan Pengurusan TM.  Terima kasih diucapkan atas kerjasama yang diberikan.  Disertakan video sepanjang perjalanan acara: SILA KLIK PAUTAN INI

Latihan kem ini merupakan aktiviti tahunan yang mana pengisian latihan merangkumi senaman pagi termasuk latihan menembak, PT pagi & PT Tempur untuk perajurit muda, kelas rejimental, aktiviti abseiling dan repelling di Balai Bomba Kamunting, Perak, pertandingan ketabahan berpasukan, mini marathon, kelas dan praktis pengunaan Radio Amatur, kelas baca peta, latihan pandu arah, ilmu medan perang dan ujian serang hendap telah diadakan di sekitar Batu Kurau, Perak serta latihan dan ujian kawad yang diadakan di Kolej Multimedia Utara, Taiping.

Pendedahan kepada latihan-latihan ini amat penting supaya anggota peka dan bersedia dalam ilmu ketenteraan yang boleh diamalkan dan mampu untuk mempraktikkan segala ilmu yang diajar demi memastikan setiap anggota sentiasa berada pada status siapsiaga.  Latihan ini juga dapat mempertingkatkan ketahanan mental dan fizikal, seterusnya dapat memupuk semangat kerjasama dalam pasukan tidak kira dalam situasi apa sekalipun.

Seperti tahun sebelumnya aktiviti kerohanian seperti solat subuh berjemaah diantara anggota diteruskan tetapi pada tahun ini aktiviti anggota digalakkan untuk solat berjemaah pada setiap waktu.  Selain itu majlis bacaan Yassin, tahlil arwah dan doa selamat masih diteruskan bersama jemaah di Masjid TM Taiping.

Sempena sambutan Hari Ulangtahun (HUT) Tentera Darat yang ke-86 pada 1hb Mac 2019, anggota yang mengikuti latihan telah berpeluang untuk bersama-sama meraikannya.  Buat pertama kalinya, HUT kali ini telah disambut di luar kawasan kem iaitu di Ladang Kemuning Sime Darby, Sungai Siput, Perak.  Pelbagai acara ketenteraan telah dipertontonkan kepada orang awam termasuk barisan gerai pameran serta makanan yang disediakan oleh fitik Tentera Darat.

Pada latihan kali ini juga, seramai 54 anggota yang telah berjaya dinaikkan pangkat semasa perbarisan pemakaian pangkat di perkarangan Masjid Jamek Kampung Yaman, Batu 20, Batu Kurau Perak selepas berakhirnya latihan pandu arah.  Majlis pemakaian pangkat telah disempurnakan oleh Pegawai Memerintah 56 RSPT (AW), Kapten Mohamad Ansahari bin Abdul Kudus dan Pen. Pegawai Memerintah, Lt. Kol Abd Wahid bin Hj Abd Bakar.  Antara anggota yang telah disenaraikan untuk kenaikan pangkat ialah Pegawai Waran 1, Azami bin Saperi yang turut dilantik selaku Rejimen Sarjan Mejar (RSM) sukarela yang baru.

Latihan kem tahun ini telah diakhiri dengan majlis makan malam pasukan yang telah diadakan secara ringkas di Dewan Rumpun Seri, Kolej Multimedia (Utara).  Majlis dimulai dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan dan penyampaian sijil tamat latihan kepada wakil skuadron.  Turut diadakan, majlis serahan cenderahati daripada pasukan kepada mantan Pen. Pegawai Memerintah, Lt Kol Abdul Wahid bin Hj Abu Bakar yang telah berkhidmat dengan pasukan mulai 11hb Disember 2014 sehingga 16hb Januari 2019 serta cenderahati kepada pesara-pesara anggota sukarela dan tetap, antaranya ialah Lt Abdul Rahim bin Ahmad yang telah berkhidmat selama 33 tahun bersama pasukan.  Sebelum majlis berakhir, Kapt Mohamad Ansahari telah memberikan ucapan penutup latihan dan dengan rasminya menutup Latihan Kem Tahunan Siri 1/2019 dan Latihan Asas Perajurit Muda Siri 1/2019.

Pasukan 56 RSPT (AW) mengucapkan terima kasih dan semoga terus sukses kepada mereka yang bersara dan telah banyak berjasa kepada pasukan.

Latihan Kem Tahunan secara rasminya berakhir pada 7hb Mac 2019 dengan aktiviti pentadbiran seperti gotong-royong serta membersihkan penginapan, dewan kuliah, dewan makan, tempat masak, masjid  dan kawasan sekitar.

Ucapan tahniah juga diucapkan kepada para pemenang seperti pertandingan menembak, pertandingan ketabahan berpasukan, pertandingan mini marathon, ujian pandu arah serta ucapan tahniah untuk semua Perajurit Muda yang telah berjaya menamatkan Latihan Asas dengan cemerlang dan jayanya.

Berikut adalah antara pemenang utama untuk pertandingan yang telah diadakan sepanjang latihan:

Johan Menembak Colt M16 Individu – Kapten Zulkifli bin Mohamad

Johan Pertandingan Ketabahan Berpasukan – Sindiket 8, diketuai oleh Lt Abd Rahim bin Ahmad

Johan Pertandingan Mini Marathon (Lelaki) – Kpl Mohd Syawal Syahdan Bin Mohamed Zin

Johan Pertandingan Mini Marathon (Pranita) – Kpl Siti Amira binti Hamzah

Johan Ujian Pandu Arah – Sindiket 5 diketua oleh Kapten Zulkifli bin Mohamad

Kawad Terbaik SUK (Sukarela) – Kpl Mohd Hazren bin Mohd Ali

Kawad Terbaik PJM (Perajurit Muda) – Sig Mu’Izzudin Shah bin Ismail Nazri

Perajurit Muda Terbaik – Sig Mohd Zulkifly bin Abu Bakar @ Yusof

Dari atas kiri: Juara Menembak Keseluruhan, Tempat Pertama Sindiket Pandu Arah, Perajurit Muda Terbaik
Baris tengah kiri: Johan Pertandingan Ketabahan Berpasukan, Kawad Terbaik SUK (Sukarela)
Baris bawah kiri: Cenderahati kepada mantan Pen Pegawai Memerintah, Johan Mini Marathon (Lelaki), Johan Mini Marathon (Pranita), Kawad Terbaik PJM (Perajurit Muda)

Semoga semua anggota RSDPT (AW) meneruskan semangat kerjasama serta disiplin yang telah dipelajari dan dipraktikkan sepanjang 2 minggu latihan dalam menghadapi dan mengendalikan kerja seharian serta mampu menghasilkan mutu kerja yang lebih baik.  Pantas & Pasti !

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*