Kursus Lanjutan Bot dan Pemanduan Pacuan Empat Roda 4WD serta Prime Movers

Pasukan 562 Rejimen Semboyan Pakar Telekom (AW) telah menganjurkan kursus lanjutan bot dan pemanduan kenderaan pacuan empat roda serta prime movers.  Kursus ini berlangsung selama tiga hari mulai 25hb – 27hb Oktober bertempat di Kolej Latihan Multimedia, Marang Terengganu.  Kursus yang dianjurkan oleh skuadron 562 RSPT (AW) ini diketuai oleh Mej Mohd Kamal Abu Bakar selaku Ketua Skuadron serta turut diselia oleh 3 pegawai dan 44 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).

 

Kursus dimulakan dengan cara pengendalian prime mover pacuan empat roda (4WD) beserta treler bot.  Peserta diajar untuk cara memandu 4WD beserta prime mover bot seperti ketika berasa di selekoh, laluan sempit, mengundur dan memakir.  Ini dapat meningkatkan tahap keyakinan anggota sekiranya diperlukan ketika berada di lapangan.

 

Sesi seterusnya adalah taklimat tentang bot yang telah disampaikan oleh Tuan Yahya dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Marang, Terengganu.  Taklimat bot ini terbahagi kepada dua sesi iaitu sesi teori dan sesi praktikal. Pada sesi pertama iaitu teori, peserta diterangkan berkenaan aspek-aspek keselamatan semasa berada di perairan, pengetahuan mengenai spesifikasi keselamatan bot dan teknik pemanduan bot. Melalui perkongian semasa taklimat berlangsung, peserta akan lebih mahir dan sedar akan risiko dan tugas semasa menjalankan sesi praktikal mahupun berada di situasi sebenar.

 

Kursus lanjutan bot diteruskan pada hari kedua dengan sesi praktikal. Ketika sesi ini,peserta telah dibahagikan kepada lima kumpulan dan setiap kumpulan akan diiringi oleh 2 orang anggota bomba sebagai pengiring dan jurulatih.  Walaupun keadaan hujan sepanjang hari, ini tidak menghalang semangat para peserta untuk meneruskan sesi praktikal yang berlangsung di Sungai Kerak, Marang. Antara latihan yang diajar semasa sesi ini ialah cara menyelamat mangsa di air, menggunakan isyarat kecemasan Safety-of-Sea(SOS) untuk meminta bantuan ketika hanyut. Bukan sekadar itu, peserta juga diajar untuk mengendalikan bot penyelamat dengan bimbingan ahli bomba.

 

Syabas diucapkan kepada semua anggota yang telah menjalani kursus lanjutan bot dan pemanduan kenderaan pacuan empat roda serta prime movers dengan jayanya.  Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua AJK yang diketuai oleh Kpl Mohd Rosli Mohamed dan juga sekalung penghargaan kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang Tuan Yahya, Tuan Fadzil serta anggota-anggota bomba yang telah bersama-sama menyumbang tenaga serta tunjuk ajar dalam kursus kali ini.  Kursus ini diakhiri dengan jamuan makan malam, sesi penghargaan kepada pihak Bomba serta penyampaian sijil tamat kursus kepada peserta.  Majlis diserikan dengan kehadiran Pegawai Memerintah 56 RSPT (AW), Kapten Mohamad Ansahari bin Abdul Kudus.  Beliau turut beramah mesra dengan semua anggota yang hadir.

 

 

Semoga pengalaman ini dapat melatih anggota untuk bersedia menghadapi situasi kecemasan apabila diperlukan dan dapat memberi impak positif serta bermanfaat di samping siap-siaga sekiranya berlaku bencana alam terutamanya banjir.  Pantas & Pasti.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*