Anugerah Khas Kecemerlangan Wira Ops Daulat RNO TM Sabah

Insiden Pencerobohan Lahad Datu pada awal tahun ini telah menimbulkan kegusaran masyarakat sekitar akan keselamatan diri, keluarga dan negara. Namun begitu, 4 Wira RNO TM Sabah yang kental jati dirinya serta tinggi semangat kerja demi menjaga nama syarikat telah memasuki Zon Merah, Ops Daulat di Felda Sahabat, Lahad Datu. Semata-mata untuk tugasan penyambungan talian telekomunikasi markas Medan Ops Daulat dan juga talian telekomunikasi/multimedia pihak media di Pusat Media Ops Daulat. Demi tugas, 4 Wira RNO ini, terus berada di lokasi bersiapsiaga untuk tugas-tugas senggaraan sepanjang hampr 2 bulan Ops Daulat berjalan.

Sempena lawatan kerja Dato’ Mohd Khalis Bin Abdul Rahim, Ketua Pegawai Permodalan Insan, ke Sabah pada 5 Jun 2013, 4 Wira Ops Daulat RNO TM Sabah ini diperkenalkan kepada Dato’ Mohd Khalis. Keempat-empat orang wira ini telah dianugerahkan Anugerah Khas Kecemerlangan, dalam Majlis Anugerah Anggota Terbaik Suku Tahun Pertama 2013, bertempat di Bilik Kambarangan 1, Wisma San Hin, Kota Kinabalu. Keempat-empat orang wira juga merupakan anggota Rejimen Semboyan Diraja Pakar Telekom (Askar Wataniah).

Sebagai menghargai jasa 4 wira sepanjang mereka bertugas di sekitar Daerah Lahad Datu dan Zon Merah Ops Daulat, yang mencatat sejarah pahit bagi Sabah Negeri di Bawah Bayu, saguhati wang tunai sebanyak RM100 serta sijil penghargaan telah diterima setiap seorang dari pihak TM. Manakala hadiah peribadi daripada Dato’ Mohd Khalis, sejumlah RM400 untuk setiap seorang disampaikan sendiri oleh Dato’.

Selain daripada itu, Majlis Anugerah Anggota Terbaik Suku Tahun Pertama 2013 itu juga menyaksikan seramai 15 anggota TM Sabah dari pelbagai bahagian telah terpilih sebagai penerima Anugerah Anggota Terbaik Suku Tahun Pertama 2013. Para anggota, masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM100 berserta sijil penghargaan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan dan penglibatan mereka. Turut hadir di majlis itu Dato’ Sharif Zaimi Bin Abu Hashim, Pengurus Besar Group Human Capital Management (GHCM), Tuan Hj Sukkuriya Masri, Pengurus Besar Negeri Sabah, Tuan Hj Adanan Jalil, Presiden SUTE, Hermal Jamal wakil Presiden SUTEN serta pihak pengurusan TM Sabah dan pengurusan GHCM.

Manakala Anugerah Khas Anggota Contoh mengetengahkan 4 orang penerima dari unit Customer Service Management (CSM), yang menunjukkan kecekapan memadam dan mengawal api daripada merebak semasa insiden kebakaran di pejabat CSM Sabah pada 13 Jun 2012. Penerima anugerah membawa pulang sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak RM100 setiap seorang.

Sebelum itu, pada jam 9 pagi, Dato’ Khalis sempat meluangkan masa hampir 2 jam bersama 22 orang anggota Bukan Eksekutif TM Sabah di ibu sawat Penampang dalam satu sesi Teh Tarik. Ketibaan Dato’ Khalis disambut dengan War Cry TM dari anggota yang hadir. Sejurus itu YBhg. Dato’ Khalis telah diberi penghormatan untuk menanam sebatang pokok di perkarangan Ibu Sawat Penampang sebagai upacara simbolik sesi Teh Tarik Bersama Dato’.

Peluang bersesi secara langsung, santai dan penuh kemesraan yang diberikan pengurusan digunakan sepenuhnya oleh anggota yang hadir berinteraksi secara terus dengan  Dato’ Khalis sekaligus berkongsikan pengalaman kerja dan isu-isu berkaitan. Turut serta dalam sesi ini adalah Dato’ Sharif Zaimi Abu Hashim, Pengurus Besar GHCM serta pihak pengurusan TM Sabah dan pengurusan GHCM.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*