Penglibatan Anggota Rejimen Semboyan DiRaja Telekom PAKAR (AW) bagi Kempen Ceritera Tanah Airku

Deklamasi sajak yang penuh semangat patriotik dengan judul ‘Ini Tanah Air, Tempat Bermula dan Berakhir’ telah membawa Warga TM menghayati dan menghargai erti Kemerdekaan pada majlis penutup Sambutan Bulan Merdeka TM 2013 di Menara TM pada 12 September. Ramai anggota tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama mengibarkan bendera Malaysia dengan diiringi lagu Jalur Gemilang dan Negaraku.

Malah, sepanjang sambutan bulan Merdeka TM telah meraikannya dengan pelbagai aktiviti bertemakan sejarah yang mengenang kembali detik-detik bersejarah ke arah mencapai kemerdekaan Malaysia. Tahun ini Syarikat kita  mempertingkatkan usahanya dan meraikan sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia dengan aktiviti yang lebih menarik dengan penganjuran kempen istimewa, yang dikenali sebagai “Ceritera Tanah Airku”.

Pada majlis penutup, semarak semangat kebangsaan terus dirasai apabila hadirin menyaksikan persembahan khas oleh beberapa Warga TM mengenai ‘Gelang Kemerdekaan’. Kisah benar ini adalah mengenai pengorbanan Datuk Siti Rahmah Kassim yang menyumbangkan  gelang emasnya kepada YTM Tunku Abdul Rahman untuk membiayai perjalanan pemimpin tersebut ke London bagi menuntut kemerdekaan negara.

Sebelum ini iaitu pada 9 hingga 11 September, sempena berlangsungnya Bulan Merdeka,  beberapa wira negara telah berkongsi cerita serta pengalaman mereka di Menara TM dalam Kempen Ceritera Tanah Airku. Warga TM berpeluang mendengar dan menghayati pengorbanan wira-wira kita yang tidak pernah dicanang ini. Wira-wira tersebut adalah Tan Sri Yuen Yuet Leng,  Leftenan Jeneral (B) Dato’ Seri Zaini Hj Mohd Said, Datuk Siti Rahmah Kassim dan Prebet (B) Ujang Mormin.

Aturcara majlis penutup sambutan Bulan Merdeka termasuk penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan hiasan pejabat, tweet ucapan Merdeka, persembahan patriotik serta peraduan yang bertajuk “Erti Merdekakepada saya”.

Peraduan ini mempelawa anggota-anggota TM untuk menghantar gambar, video, cerita atau lukisan yang menggambarkan erti sebenar Merdeka menurut tafsiran mereka sendiri.Antara hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan termasuklah wang tunai sehingga 2,000 Ringgit, iPad mini, External Hard Disk Drive 1Tb, Kamera Digital, tempat letak kereta khas untuk anggota di Menara TM serta baucer makan di beberapa restoran terkemuka.

Bercakap pada majlis tersebut, Dato’ Sri Dr Halim berkata, “Kami amat berbesar hati kerana dapat berada pada majlis yang penuh bermakna ini sebagai sebahagian daripada sambutan Kemerdekaan bersama-sama wira-wira bangsa kita yang telah berjuang untuk mencapai Kemerdekaan; Kemerdekaan yang telah mereka perjuangkan, mesti kita pelihara serta pertahankannya untuk generasi akan datang. Inilah yang ingin kami semaikan dalam diri anggota TM – erti sebenar sebuah kemerdekaan, cabaran dan halangan di sebaliknya agar generasi akan datang akan lebih menghargainya. Kami turut berharap semangat juang yang ada dalam diri para pahlawan kita, di mana ramai yang masih kurang dikenali, akan menjadi inspirasi buat kita agar lebih memahami tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia dalam menjaga kedaulatan negara.”

Pada majlis penutup tersebut, selain berlangsungnya majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang peraduan dan pertandingan yang diadakan sepanjang kempen “Ceritera Tanah Airku”, TM turut menyampaikan penghargaan kepada wira-wira negara dari Persatuan Bekas Tentera Malaysia,

Persatuan Bekas Warga Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dan Persatuan Bekas Polis Malaysia.

Kempen “Ceritera Tanah Airku”, yang telah berlangsung selama sebulan dari 5 Ogos 2013 ini bertujuan untuk meningkatkan lagi semangat nasionalisme dalam diri Warga TM dan menanam rasa cintakan negara dengan lebih mendalam dalam diri mereka. Kempen ini yang disasarkan kepada anggota TM di seluruh negara, telah membariskan pelbagai aktiviti termasuklah pertandingan hiasan pejabat, tweet ucapan Merdeka dan persembahan patriotik. Turut dianjurkan ialah satu pertandingan kreativiti yang bertajuk “Erti Merdeka kepada saya” yang mempelawa anggota-anggota TM untuk menghantar gambar, video, cerita atau lukisan yang menggambarkan erti sebenar Merdeka menurut tafsiran mereka sendiri. Para pemenang pertandingan dan peraduan telah menerima hadiah masing-masing pada majlis penutup tersebut.

Namun elemen yang paling menonjol dan bermakna dalam kempen ini adalah galeri “Ceritera Tanah Airku” yang dibuka di Lobi Menara TM. Galeri ini memberi pendedahan mendalam mengenai kisah perjalanan – cabaran, rintangan dan penat jerih – ke arah mencapai Kemerdekaan negara. Ianya menampilkan 3 segmen utama: ”Sejarah Kemerdekaan”, “Penubuhan Malaysia” dan ”Wira-wira yang tidak Dicanang”. TM bekerjasama dengan Jabatan Arkib Negara dan Jabatan Muzium Negara dalam penyediaan galeri tersebut untuk memaparkan kisah-kisah sebenar tokoh-tokoh kemerdekaan negara, malah ada antara mereka yang hampir dilupakan!

Selain itu, beberapa wira yang tidak dicanang ini turut berkongsi cerita dan pengalaman mereka bermula dari 9 hingga 11 September 2013. Personaliti-personaliti tersebut ialah Tan Sri Yuen Yuet Leng, Pegawai Cawangan Khas yang turut terlibat dalam siri operasi menentang Komunis semasa era Chin Peng, Rashid Maidin dan Abdullah C.D; Datuk Siti Rahmah Kassim, wanita yang menggadaikan gelang emasnya untuk menampung perbelanjaan YTM Tunku Abdul Rahman dalam usaha memperoleh kemerdekaan di London; Prebet Ujang Mormin, satu-satunya pejuang dari pasukan Batalion Rejimen Askar Melayu Diraja pertama dari 1941 hingga 1947 yang masih hidup, iaitu pada era yang sama dengan Leftenan Adnan; serta Leftenan Jeneral (B) Dato’ Seri Zaini Mohd Said, salah seorang daripada anggota Batalion 304 Askar Wataniah yang turut serta dalam perundingan dengan kumpulan Al-Maunah.

“Sebagai sebuah syarikat GLC terkemuka, TM akan terus melaksanakan lebih banyak inisiatif untuk menyokong sambutan bulan Merdeka. Tahun ini, kami turut memilih tema “Malaysia Tanah Airku, TM Kebanggaanku” yang kami harapkan dapat menyemai rasa cintakan negara di kalangan anggota kami serta memupuk rasa bangga terhadap TM. Kami mengharapkan agar semangat perjuangan nenek moyang kita akan memberi inspirasi kepada anggota untuk terus memberikan sumbangan khidmat bakti yang terbaik demi kemajuan dan kesejahteraan berterusan bukan sahaja kepada Syarikat, malah juga untuk negara. Inilah komitmen yang kami inginkan supaya kita sebagai Warga TM boleh meninggalkan legasi yang kukuh untuk generasi TM yang akan datang,” akhiri beliau.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*