Program Jalinan Kasih Putera & Puteri bersama Penghuni Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah Cheras Anjuran HCBD TM Kuala Lumpur Menghimpunkan 270 Sukarelawan

Pada 19 Oktober 2013 yang lalu seramai 60 kakitangan TM, 40 Pelatih Khidmat Negara Kem Semenyih, 20 Anggota Rejimen Semboyan Diraja PAKAR Telekom (AW), 150 Persatuan Puteri Islam Malaysia peringkat Negeri Selangor (PPIM) dan beberapa kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membanjiri perkarangan Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah Cheras seawal 8.00 pagi bagi menyemarakkan Program Jalinan Kasih Putera & Puteri bersama penghuni Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah Cheras.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Ir. Zaini Diman, Naib Pengerusi TM Kerajaan. Turut  bersama di dalam program ini ialah  Mejar Abdul Razak Abdul Wahab, Pemangku CO Rejimen Semboyan Diraja PAKAR Telekom (AW), Mejar (B) Azmi A. Ghani, Setiausaha Bakit, Hajah Jennifer, Timbalan Pengerusi Pandu Puteri Islam Malaysia (Selangor), dan barisan pengurusan kanan TM Kuala Lumpur. “Berbekalkan hati yang ikhlas, kita dihimpunkan di sini bagi menghulurkan sumbangan kepada kanak – kanak  Tengku Budriah Cheras. Tenaga yang ramai ini kita padukan bagi meringankan beban mereka” ucapan Ybhg. Datuk Ir. Zaini Diman, Naib Pengerusi TM Kerajaan ketika merasmikan program.

Program serampang dua mata ini dapat memupuk semangat memelihara alam sekitar kepada masyarakat selain meningkatkan penglibatan anggota TM dalam aktiviti khidmat masyarakat. Selain itu TM Kuala Lumpur dapat mengeratkan hubungan bersama masyarakat melalui program ini. Program ini adalah inisiatif dari Human Capital Business Driver TM Kuala Lumpur bersama BAKIT, BAKIT Helwa, PAKAR, DBKL, dan PPIM (Selangor).

Para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan ditugaskan bagi membersihkan perkarangan Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah Cheras, mengecat wakaf dengan warna korporat TM, menanam pokok herba, membaiki ampaian kain, mencuci dan membersihkan surau dan menjalankan aktiviti sukaneka untuk kanak kanak Tengku Budriah Cheras. Melalui program ini, pelbagai sumbagan telah diserahkan kepada pengetua Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah Cheras berupa vaucer bernilai RM 1000.00, lampin pakai buang, kain dan pelbagai kelengkapan harian yang lain.

Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah Cheras menghimpunkan lebih daripada 250 penghuni yang terdiri daripada bayi yang berusia 1 bulan hingga kanak – kanak berusia 12 tahun. Hampir 50 orang bayi adalah mangsa buangan dan ditinggalkan oleh ibu bapa. Manakala selebihnya adalah kanak-kanak mangsa penderaan fizikal dan seksual, anak yatim dan anak –anak yang diabaikan keluarga. Penempatan kanak – kanak ini adalah dari perintah mahkamah. Penghuni Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah Cheras dilindungi dan sebarang perjumpaan bersama kanak – kanak ini dikawal ketat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*