Latihan Pemanduan 4×4 dan Program Jiwa Murni di Pos Satak Ulu Sungai Raub

Pada 23 hingga 24 Oktober 2016 bertempat di Ulu Sungai Raub, Pahang, telah diadakan satu latihan pemanduan kenderaan pacuan 4 roda (4X4). Latihan yang dianjurkan oleh Skuadron 16SSD Rejimen Semboyan DiRaja PAKAR Telekom Askar Wataniah, RSDPT (AW) ini,  telah dihadiri oleh Pegawai Memerintah RSDPT (AW) Mej Badrul Hisham Ahmad, Mej Abdul Razak Abdul Wahab selaku Ketua Skuadron 16SSD, Kapten Mohd Kamal Abu Bakar, ketua Terup Johor dan 42 anggota Lain-lain Pangkat (LLP).  Sesi latihan ini turut disertai oleh wakil daripada Markas, 15SSD & 17SSD.  Manakala seramai 8 anggota awam terlibat dalam latihan ini iaitu pihak TMF Autolease Sdn Bhd (TMFA) yang menjadi marsyal serta pihak TM Radio Amateur Community (TMRAC) yang membantu dari segi perhubungan radio amatur.

Latihan telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sesi teori dan praktikal yang telah disampaikan oleh tenaga pengajar daripada TMFA. Sesi teori mengandungi perkongsian pengetahuan mengenai persediaan kenderaan dan teknik pemanduan 4X4 manakala sesi praktikal selepas itu telah memberi peluang kepada peserta untuk mempraktikkan sendiri teknik pemanduan meredah laluan hutan serta mendaki bukit dan menuruni cerun. Taklimat dan demonstrasi penggunaan ‘winch’ turut ditunjukkan. Ketika pemanduan 4X4, anggota telah bertembung suatu halangan di mana sebatang pokok besar telah tumbang di pertengahan laluan hutan. Para peserta telah bekerjasama memotong pokok tersebut dan mengalihkan halangan.

Pada 25 Oktober 2016 pula, aktiviti diteruskan dengan melaksanakan program Jiwa Murni di Pos Satak Ulu Sungai Raub yang masyarakatnya terdiri daripada Orang Asli kelompok kaum Semai. Anggota RSDPT (AW) telah bergotong-royong membersihkan surau Kampung Orang Asli Pos Satak serta mengecat setor dan bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Satak. Di samping itu, pihak RSDPT (AW) juga telah melatih murid-murid SK Satak berkawad serta merencanakan acara perbarisan bagi hari sukan SK Satak.?

Syabas kepada para anggota yang telah menjalani latihan pemanduan 4X4 dengan jayanya. Terima kasih diucapkan kepada anggota-anggota yang telah menyumbang tenaga dalam program Jiwa Murni dan amat dihargai oleh masyarakat Pos Satak yang diwakili oleh Guru Besar Sk Satak, En Jaafar Omar. Semoga usaha murni ini meningkatkan dapat imej pasukan RSDPT (AW) khasnya dan TM amnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*