Latihan Kem Tahunan Siri 3/2015 dan Latihan Asas Perajurit Muda Siri 2/2015 di Batalion Kedua Rejimen 505 (Askar Wataniah) Kem Susur Tembeling , Jerantut, Pahang

Latihan Kem Tahunan (LKT) Siri 3/2015 dan Latihan Asas Perajurit Muda (LAPM) Siri 2/2015 Rejimen Semboyan DiRaja (RSD) Pakar Telekom Askar Wataniah (AW) telah diadakan mulai 22 Oktober hingga 5 November 2015 bertempat di Batalion Kedua Rejimen 505 (Askar Wataniah) Kem Susur Tembeling, Jerantut, Pahang. Seramai 45 anggota Pakar Telekom (AW) termasuk 16 orang Perajurit Muda (PJM) yang hadir buat kali pertama telah mengambil bahagian dalam siri latihan kali ini.

Antara aktiviti tahunan yang telah dijalankan termasuk Pertandingan Pandu Arah, Pertandingan Menembak, Pertandingan Kawad Kaki, Kelas Ketenteraan antaranya Baca Peta, Pandu Arah, Pakaian dan Adat Resam Tentera Darat, Senjata, Cuci Senjata, Kawad Kaki, Kawad Senjata dan istimewanya kali ini adalah Ilmu Medan Perang (IMP). Latihan fizikal yang dijalani selain daripada senaman tempur adalah perlawanan bola tampar dan bolasepak.

Pertandingan Pandu Arah telah diadakan dari 30 hingga 31 Oktober 2015, terdapat 6 Sindiket yang dianggotai seramai antara 5 hingga 6 anggota dan setiap sindiket telah diperlengkapkan dengan peta, kompas, protektor dan GIRN (alat komunikasi tentera).  Anggota terbabit mengharungi pelbagai rintangan seperti hujan lebat, menyeberangi sungai, meredah paya dan belukar, hinggapan lintah serta pacat diadakan di dalam kawasan Jengka dan tamat di Masjid Ubudiah Felda Jengka 8 dan Masjid Felda Jengka 9, Jerantut, Pahang.

Bagi aktiviti menembak, beberapa acara dipertandingkan antaranya Pertandingan Individu menggunakan M16, Pertandingan Menembak Jatuh Piring Antara Skuadron, Pertandingan Jatuh Piring Antara Pangkat, Pertandingan Jatuh Piring Antara Kumpulan dan Pertandingan Jatuh Piring Antara Tetap dan SUK.  Penembak Terbaik keseluruhan pada latihan kali ini telah dijuarai oleh Leftenan Zulkifli bin Mohammad dari 15 SSD.

Latihan Ilmu Medan Perang (IMP) pula telah diadakan dari 31 Oktober hingga 2 November 2015. Sebanyak 3 Seksyen ditubuhkan untuk mewujudkan 1 Platun dengan kekuatan anggota seramai 8 orang setiap seksyen. Anggota telah didedahkan dengan ilmu teori serta praktikal meliputi menduduki pengkalan dalam hutan, rutin dalam pengkalan, mendirikan khemah dengan betul, membina kubu pertahanan, membuat tinjauan, membina model serangan, menyampaikan perintah serangan dan serangan hendap terhadap khemah musuh.

Dalam acara sukan antara anggota Tetap dan SUK, dua acara telah dijalankan iaitu pertandingan bolasepak dan bola tampar.  Kedua-dua acara telah dimenangi oleh anggota Tetap.

Selain daripada aktiviti ketenteraan dan fizikal, anggota-anggota RSDPT (AW) turut melaksanakan Program Jiwa Murni. Bertempat di Masjid Kuala Tembeling, Jerantut, para anggota serta  telah bergotong-royong membersihkan kawasan, mengecat bangunan tandas dan pembahagi jalan serta kawasan parkir motor. Program yang diketuai oleh Ketua Memerintah Skuadron 16 SSD RSDPT (AW) Mejar Abd Razak Abd Wahab ini, dapat mempererat hubungan RSDPT (AW) dengan masyarakat khususnya di samping menaikkan imej Telekom Malaysia secara amnya.

Pegawai Memerintah RSDPT (AW), Mejar Badrul Hisham Ahmad  dan Ketua Memerintah Skuadron 16 SSD RSDPT (AW) Mejar Abd Razak Abd Wahab telah sudi hadir ke Majlis Penutup LKT Siri 3/2015 dan LAPM Siri 2/2015.  Majlis turut sertai oleh Penolong Pegawai Memerintah Batalion Kedua Rejimen 505 (AW), Lt Kol Kamarulzaman bin Ishak serta Pengurus Besar NMO Timur, Encik Zahariman bin Muhammad dan Pengurus Besar negeri Pahang, Encik Zulfikri bin Hashim

Majlis penutup ini telah disempurnakan oleh Mejar Badrul Hisham Ahmad pada tanggal 3hb November 2015 yang diadakan di Dataran Batalion Kedua Rejimen 505 (AW) Kem Susur Tembeling, Jerantut, Pahang. Pada majlis ini juga diadakan penyampaian cenderahati kepada anggota tetap yang akan menamatkan perkhidmatan dan bertukar keluar daripada perkhidmatan Pakar Telekom (AW).  Selain itu, tahniah diucapankan kepada menerima anugerah kawad terbaik Perajurit Muda (PJM) iaitu PJM Mohd Khairman Bin Sulhi daripada 18 SSD (Sarawak) dan PJM Terbaik Keseluruhan, PJM Mohd Tarmizi Bin Mohamad daripada 16 SSD (Terengganu), manakala Anugerah Ketabahan Terbaik disandang oleh Kpl Mohd Faizal Bin Aziz daripada Markas Rejimen.

Semoga semua anggota yang menyertai siri latihan ini telah dapat menimba ilmu operasi di peringkat lapangan khasnya dan memanfaatkannya untuk kegunaan pada masa hadapan. Adalah diharapkan semangat kerja berpasukan dan setiakawan yang diterapkan di sepanjang latihan dapat diteruskan dalam tugasan harian di unit masing-masing khususnya dan di TM amnya, in shaa Allah.  PANTAS PASTI.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*