Program Lawatan dan Berbuka Puasa di Maahad Tahfiz dan Anak Yatim Darul Fuqaha

Pada 12 Julai 2015 yang lalu, Rejimen Semboyan Diraja Pakar Telekom (AW) atau singkatan RSDPT(AW) telah menyertai program Lawatan dan Berbuka Puasa di Maahad Tahfiz dan Anak Yatim Darul Fuqaha (MTDF), Bangi yang dianjurkan oleh bahagian ISP Network Management (ISPNM), ITNT.  Program yang diketuai oleh Kapten Mohamad Ansahari Abdul Kudus, pegawai RSDPT (AW) yang juga merupakan Pengurus Besar ISPNM turut disertai oleh Kapten Norehan Mohamed Noor bersama-sama 4  anggota  RSDPT (AW).

Selain daripada melawat persekitaran fasiliti Maahad Tahfiz & Anak Yatim Darul Fuqaha, pihak RSDPT (AW) dan ISPNM juga bergotong-royong menyediakan juadah dan seterusnya berbuka puasa bersama-sama dengan warga Darul Fuqaha.  Yang istimewanya, juadah dinikmati secara berjemaah dalam talam.  Seusai berbuka puasa, kesemua peserta program bersolat Maghrib, Isyak serta Tarawikh secara berjemaah dengan warga Darul Fuqaha.

Pihak RSDPT (AW) dan ISPNM telah turut memberi sumbangan bantuan kewangan kepada wakil MTDF dan duit raya kepada para pelajar yang hadir pada majlis tersebut.  Sumbangan telah disampaikan oleh Kapten Mohamad Ansahari Abdul Kudus.

Semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan, kerana ianya dapat memupuk kerjasama antara kakitangan TM khususnya selain dapat memberikan pendedahan kepada aktiviti kebajikan amnya.

Maklumat Maahad Tahfiz & Anak Yatim Darul Fuqaha (MTDF):

Maahad Tahfiz & Anak Yatim Darul Fuqaha (MTDF) merupakan sebuah institusi pendidikan rendah dan menengah integrasi menggabungkan kurikulum Tahfiz al-Quran, akademik KBSM dan kurikulum agama terpilih. Ia adalah percuma untuk 3 golongan utama iaitu anak-anak yatim, anak-anak ibu tunggal yang tidak berkemampuan dan faqir miskin.

Darul Fuqaha ini telah diasaskan pada tahun 2004 di Sungai Merab Luar, Bangi, oleh Ustaz Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri iaitu bekas pensyarah di UAI dan di Fakulti Pengajian Islam UKM.

Buat masa ini, kos sebanyak RM45,000 bulanan diperlukan untuk memastikan operasi institusi MTDF ini berlangsung.  Dalam masa yang sama, Darul Fuqaha sedang menyiapkan bangunan 2 tingkat yang bakal mengandungi 2 buah kelas dan pejabat, dengan anggaran kos RM150,000. Kepada mereka yang ingi memberikan sumbangan, bolehlah berbuat deminikan dengan menyalurkan sumbangan ke  akaun MTDF, maklumat akaun: Dana Pembangunan Darul Fuqaha, Bank Islam, nombor akaun 12029010045684. Untuk maklumat lanjut berkenaan MTDF boleh hubungi Ustaz Azlan di talian 019-2677703.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*