Bengkel Pegawai dan PTT Kanan RSD Pakar Telekom (AW) 2017

Pasukan RSD Pakar Telekom (AW) telah menganjurkan “Bengkel Pegawai dan PTT Kanan” pada 8 hingga 10 November 2017 bertempat di The Regency Jerai Hill Resort, Gurun, Kedah.  Bengkel ini telah dihadiri oleh 12 Pegawai dan 40 anggota sukarela RSDPT (AW) serta 2 Pegawai dan 2 anggota Tetap RSDPT (AW).

Bengkel yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini telah dirasmikan oleh Pegawai Memerintah RSDPT (AW), Mej. Badrul Hisham bin Ahmad.  Pasukan turut menjemput Pegawai Staf 1 Latih & Rancang, Bahagian Pasukan Simpanan (BPS) Tentera Darat Malaysia, Lt Kol Taufan bin Dato Paduka Hj Ghazali dan beliau telah berkongsi perancangan berkenaan Hala Tuju Askar Wataniah.

Mej. Badrul Hisham telah berkongsi aspirasi beliau serta pelan transformasi RSD Pakar Telekom (AW) untuk pembaikan masa hadapan.  Beliau turut mengingatkan bahawa pasukan perlu sentiasa memperkukuhkan pengurusan bencana untuk menjaga kepentingan negara amnya dan TM khususnya, meneruskan proses transformasi dan mengambil pendekatan baharu termasuk ‘digitization & digitalization’.  Di samping itu juga, kerjasama dengan pasukan Tetap RSD akan dapat memperkukuh proses transformasi ini di samping faktor latihan untuk anggota.  Mej. Badrul Hisham berharap agar para peserta bengkel kali ini dapat memperkemaskan lagi keperluan pasukan RSDPT (AW) dalam menghadapi cabaran mendatang.

Para peserta bengkel telah dibahagi kepada 3 kumpulan bagi menambahbaik proses pengambilan keanggotaan baharu, skop latihan dan kursus yang bersesuaian dengan pasukan pada era kini dan akan datang, serta prosedur operasi standard mobilisasi yang lebih mapan dan menyeluruh. Pembentangan setiap kumpulan diketuai oleh Lt Zulkifli Mohammad, Lt Ruhia Lawis dan Lt Mohd Saiful Hazmi Abu Bakar.

Selain program bengkel, latihan jasmani dan aktiviti pendakian ke Puncak Gunung Jerai dari The Regency Jerai Hills Resort turut dilaksanakan dan melibatkan para Pegawai dan anggota RSD Pakar Telekom (AW).

Semoga dengan perlaksanaan sesi bengkel ini dapat memperkasakan pasukan RSD Pakar Telekom (AW) ke tahap yang lebih gemilang.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*