Kembaraduga Ke Gunung Irau 2017

Tanggal Sabtu 12hb Ogos 2017, pasukan Rejimen Semboyan DiRaja Pakar Telekom (Askar Wataniah), RSDPT (AW) telah berjaya melaksanakan aktiviti “Kembaraduga ke Gunung Irau”.  Gunung Irau, yang terletak di Cameron Highlands, Pahang mempunyai ketinggian 6924 kaki bersamaan dengan 2110 Meter dari paras laut. Gunung ini merupakan gunung  ke-15 tertinggi di Malaysia.  Gunung ini dianggap istimewa kerana bercirikan “Mossy forest and fairyland”, “cold wind and misty clouds” ini terletak di utara pekan Berinchang, Cameron Highland. Lantaran keistimewaan dan kemasyhuran Gunung Irau yang seringkali menjadi sebutan di kalangan para penggemar pendaki, lokasi ini menjadi tarikan pasukan RSDPT (AW) di bawah kelolaan Lt. Khairul Anwar Lukman daripada 15SSD untuk menganjurkan program kembaraduga.

Seramai 28 orang anggota RSDPT (AW) telah menyahut cabaran untuk menyertai kembaraduga kali ini.  Antara persiapan sebelum kembaraduga ini ialah latihan mendaki tangga di Menara TM dari tingkat 3 ke tapak pendaratan helikopter (helipad) yang telah diadakan sebanyak 3 kali.  Ini bertujuan memastikan anggota mempunyai tahap stamina yang baik serta mempersiapkan kekuatan mental agar peserta kekal sihat  dan cergas selain berkemampuan untuk menjalani program ini.

Perjalanan dimulakan pada hari Jumaat selepas waktu kerja dan aktiviti mendaki dimulakan keesokan harinya di kaki Gunung Irau lebih kurang jam 9 pagi.  Kesemua 28 orang anggota yang menyertai program ini telah berjaya menawan puncak Gunung Irau dengan selamatnya walaupun menghadapi kesukaran akibat keadaan trek yang berakar dan berselut serta keadaan cuaca hujan dan berangin.

Alhamdulillah, dengan berbekalkan tekad dan semangat untuk sampai ke puncak serta kerjasama berpasukan yang padu serta semangat setiakawan, program ini telah berjaya mencapai matlamatnya.  Selain aktiviti mendaki, peserta juga didedahkan dengan latihan radio amatur iaitu cara untuk berkomunikasi dengan penggunaan tatacara percakapan radio yang betul.  Kesimpulannya, program ini dapat menguji ketahanan mental dan fizikal setiap anggota khususnya di kalangan anggota RSDPT (AW) di kawasan Tengah. Selain daripada 15 SSD dan Markas, program ini juga melibatkan anggota RSDPT (AW) daripada 16 SSD dan 17 SSD.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dengan penganjuran “Kembaraduga RSDPT (AW) Ke Gunung Irau” ini termasuk ahli jawatankuasa yang memastikan program ini berjalan dengan baik dan lancar. Tahniah semua, semoga program begini dapat dilaksanakan lagi pada masa hadapan.  Untuk menjadi yang terbaik, kita mestilah sentiasa mengamalkan 3S – Sihat, Selamat dan Segera.  Pantas Pasti!

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*