Diari Ramadhan 1438H RSDPT (AW)

Ramadhan Kareem…Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi Ramadhan bakal meninggalkan kita.  Semoga kita beroleh keberkatan dan keampunan dariNya sepanjang bulan yang mulia ini.  Dikesempatan bulan Ramadhan ini, Rejimen Semboyan DiRaja Pakar Telekom (Askar Wataniah), RSDPT (AW) telah merencanakan beberapa program bersama anggota dan juga bersama-sama menyertai program singgah sahur & berbuka puasa kelolaan Kumpulan Pengurusan Modal Insan (GHCM).

Berikut adalah antara program yang dijalankan:

Majlis Iftar bersama pelajar pelajar Maahad Tahfiz Darul Irfan Segamat

Pasukan 16 SSD, RSDPT (AW) telah mengadakan majlis iftar bersama pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Darul Irfan Segamat, Johor pada 14hb Jun 2017 bersamaan 19 Ramadhan 1438 Hijrah.  Majlis ini telah disertai seorang pegawai, Mejar Mohd Kamal bin Abu Bakar yang juga ketua terup 16SSD, anggota-anggota RSDPT (AW) sekitar Johor dan turut dijayakan oleh wakil-wakil dari terup Pahang dan Terengganu.  Selain majlis iftar dan solat berjemaah bersama-sama dengan para pelajar maahad, pihak RSDPT (AW) turut menyampaikan sumbangan kepada maahad tahfiz tersebut dan telah disempurnakan oleh Ketua terup 16SSD.

Majlis Iftar RSDPT (AW) 1438H anjuran 15ssd & Markas

Majlis Iftar RSDPT (AW) ini telah diadakan pada 15hb Jun 2017 bersamaan 20 Ramadhan 1438H di Pejabat 15SSD, KLC Annexe, Jalan Raja Chulan,  anjuran bersama 15SSD dan Markas.

Seperti tahun sebelumnya, majlis iftar ini disertai oleh Pegawai Memerintah, Mejar Badrul Hisham Ahmad, 5 orang pegawai serta 25 anggota sukarela yang bertugas sekitar Lembah Kelang.  Ianya turut diserikan dengan kehadiran En. Azizi Bin A Hadi, EVP SME yang juga Presiden Kelab Radio Amatur TM (TMRAC), Penolong Pegawai Memerintah RSDPT (AW), Lt Kol Abd Wahid bin Abdul Wahab yang turut disertai oleh seorang pegawai dan 3 orang lain-lain pangkat.  Pada tahun ini juga, anggota NOC/NMO yang bertugas shif sekitar JRC dan ahli TMRAC juga dijemput untuk bersama-sama memeriahkan majlis serta merapatkan ikatan ukhwah antara satu dengan yang lain.

Antara pengisian majlis ialah bacaan Yassin dan tahlil, tazkirah ringkas, solat Maghrib & Isya berjemaah serta terawih dan witir yang dipimpin oleh Ssjn Hashim bin Hussein.  Solat hajat turut diadakan untuk Adik Muhammad Yusuf Iskandar iaitu anak kepada Daing Mohd Shazwan dan Jubaida Kamir yang mana kedua-dua mereka adalah mantan anggota 15ssd.

Semoga majlis seperti ini dapat mengukuhkan ukhwah dan semangat setiakawan sepasukan khasnya dan antara kakitangan TM amnya.  Selain itu, semoga ianya dapat menyemarakkan lagi semangat Ramadhan yang mulia ini.

Program Singgah Sahur Dan Berbuka Puasa Kelolaan Kumpulan Pengurusan Modal Insan (GHCM)

6 Jun 2017 bersamaan 11 Ramadhan 1438H – Singgah sahur di Pusat Operasi ITOC, Tingkat 5, TM Annexe 2, Jalan Pantai Jaya, KL.  Sesi ini telah disertai oleh Mejar Norehan Mohamed Noor dan Kpl Suraya Yaacob.

9 Jun 2017 bersamaan 14 Ramadhan 1438H – Singgah sahur di Ibu Sawat Rawang dan  Stesyen Bukit Ulu Kali, Selangor.  Sesi ini telah disertai oleh Kpl Maznil Safri Bin Mohd Ghazali dan LKpl Mohd Johan bin Zakaria.

14 Jun 2017 bersamaan 19 Ramadhan 1438H – singgah sahur di Ibu Sawat Cheras Bt 10, Selangor.  Sesi ini telah disertai oleh Sjn Abd Halim bin Long dan LKpl Hanafi bin Mohd Zaki

16 Jun 2017 bersamaan 21 Ramadhan 1438H – Singgah sahur di Ibu Sawat Ulu Kali Genting, Selangor.  Sesi ini telah disertai oleh Kpl Muhamad Luqman Adam bin Salim dan LKpl Hanafi bin Mohd Zaki.

21 Jun 2017 bersamaan 26 Ramadhan 1438H – Majlis berbuka puasa di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Chow Kita, Kuala Lumpur.  Sesi ini telah disertai oleh Sjn Abd Halim bin Long, Kpl Abbasiah Hayati binti Rosli dan LKpl Rohana Jusoh.

Bantuan Kepada Mangsa Banjir Kilat Hulu Langat, Selangor

Dalam kita mengimarahkan hari-hari terakhir 10 Ramadhan, ada di antara kita yang dilanda musibah iaitu banjir kilat di kawasan Hulu Langat, Selangor pada Sabtu, 17hb Jun 2017 bersamaan 22 Ramadhan 1438H.  Antaranya, PJM Mohd Nurfirdaus bin Mat Ali, anggota RSDPT (AW) yang tinggal di Taman Sri Nanding, Hulu Langat.  Rumah beliau dan jiran sekitar telah dinaiki air banjir separas betis akibat hujan lebat berterusan selama 4 jam.  Wakil dari RSDPT (AW), Mejar Norehan binti Mohamed Noor telah menziarahi anggota terlibat serta menyampaikan sumbangan pasukan kepada beliau pada 18hb Jun 2017.

Semoga Mohd Nurfirdaus bin Mat Ali dan keluarga tabah mengharungi musibah yang tidak diduga ini.

Tabung Keprihatinan RSDPT (AW) Untuk Adik Muhammad Yusuf Iskandar

RSDPT (AW) telah menganjurkan Tabung Keprihatinan RSDPT (AW) untuk Adik Muhammad Yusuf Iskandar yang berusia 4 bulan dan juga putera kepada Daing Mohd Shazwan  dan Jubaida Kamir dimana kedua-dua mereka adalah mantan anggota 15ssd.

Adik Muhammad Yusuf Iskandar telah disahkan mengalami Chronic Lung Disease dan kini berada di unit NICU, Hospital Shah Alam.  Dimaklumkan juga bahawa 4 jarinya telah hangus akibat jangkitan kuman serta memerlukan kos rawatan yang tinggi.

Sumbangan telah disampaikan oleh wakil pasukan, Mejar Norehan binti Mohamed Noor kepada ibubapa adik Muhammad Yusof Iskandar pada 18hb Jun 2017 bersamaan 23 Ramadhan 1438H.

Terima kasih diucapkan kepada anggota RSDPT (AW) yang telah sudi menghulurkan sumbangan.  Marilah kita bersama-sama mendoakan kesembuhan Adik Muhammad Yusuf Iskandar dan semoga Daing Syazwan dan Jubaida Kamir tabah melalui dugaan ini.

Akhir kata, semoga semangat setiakawan dan tradisi saling bantu membantu ini dalam di teruskan supaya dapat melahirkan anggota pasukan yang bersatu padu, berintergriti dan berkualiti seterusnya dapat merapatkan lagi ukhwah sesama anggota tanpa mengira agama dan bangsa.  Diharapkan kita terus istiqamah dalam mengimarahkan ibadah kita di hari-hari terakhir Ramadhan 1438H ini dan kita diberikan kesempatan untuk bertemu lagi Ramadhan di tahun yang akan datang.  Pantas & Pasti!

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*