Latihan Kem Tahunan & Latihan Asas Perajurit Muda Siri 1/2018 Kuching Sarawak

Latihan Kem Tahunan dan Latihan Asas Perajurit Muda Siri 1/2018 yang dihadiri oleh 4x Pegawai dan 40x Lain-lain Pangkat telah dilaksanakan pada 22 Februari sehingga 8 Mac 2018 bertempat di Pusat Latihan Telekom, Petra Jaya, Sarawak.  18 Skuadron Rejimen Semboyan DiRaja Pakar Telekom (Askar Wataniah) merupakan penganjur bagi LKT dan LAPM Siri 1/2018 di bawah seliaan Mejar Hardi bin Yusop selaku Pegawai Latih dan Leftenan Ruhia Lawis selaku OC Latih.

Latihan ini merupakan aktiviti tahunan dimana pengisian latihan merangkumi Senaman Pagi (PT Tempur), Latihan Menembak, Abseiling dan Repelling, Ujian Kawad, Ujian Jalan Laju, Proses Tapisan Keselamatan, Kelas Baca Peta, Latihan Pandu Arah, Ilmu Medan Perang, Ujian Serang Hendap, Praktis Pengunaan Radio Amatur, Kerohanian, Pertandingan Sukan Bola Tampar serta Bola Sepak dan Mendaki Gunung Serapi.

Latihan tersebut amat penting dimana setiap anggota diberi pendedahan dalam ilmu ketenteraan agar mahir dan mampu mempraktikkan segala ilmu yang diajar demi memastikan mereka berada di tahap kesiapsiagaan yang tinggi.  Latihan ini juga dapat meningkatkan ketahanan mental dan fizikal dan seterusnya dapat memupuk kerjasama dalam pasukan sama ada dalam situasi kecemasan mahu pun tidak.

Mesyuarat Bersama Pegawai Memerintah juga turut diadakan untuk membincangkan berkenaan dengan pengurusan serta hala tuju dan penambahbaikan RSDPT (AW).  Pelan tindakan untuk persediaan awal mobilisasi untuk pilihanraya yang bakal tiba juga turut dibincangkan bagi memastikan segala tugasan berjalan dengan lancar.

Majlis Perasmian telah dilaksanakan pada 23 Mac di TMTC, Sarawak oleh Leftenan Kolonel Abdul Wahid Abu Bakar, Penolong Pegawai Memerintah RSDPT (AW), manakala Majlis Penutupan pula telah disempurnakan pada 6 Mac di Balai Raya Kampung Rumih, Bau, Sarawak oleh Mejar Haji Badrul Hisham Ahmad, Pegawai Memerintah RSDPT (AW) bersempena dengan Majlis Makan Malam Penutup yang turut dihadiri oleh Pihak Pengurusan Pakar, Pegawai-pegawai Kanan TM serta Encik Nyoep anak Rinoi, Ketua Kampung Rumih.

Pegawai Memerintah RSDPT (AW) dalam ucapannya mengingatkan semua anggota agar sentiasa aktif melibatkan diri dalam latihan-latihan seumpama ini agar setiap anggota mampu mengalas tugasan yang diamanahkan ketika khidmat mereka diperlukan dan dalam masa yang sama latihan seperti ini mampu melahirkan anggota yang mempunyai jati diri tinggi selain dapat memberikan pendedahan serta pendidikan tentang kepentingan kekuatan dalam satu pasukan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*