SEJARAH RSDPT(AW)

Rejimen Semboyan Diraja Pakar Telekom (AW) adalah di antara salah sebuah organisasi di dalam pasukan Askar Wataniah Tentera Darat. Rejimen ini mempunyai organisasinya yang tersendiri iaitu terdiri daripada Markas Rejimen dan Skuadron-Skuadron Semboyan Pakar Telekom Ke 15, 16, 17 dan 18 (AW).

Penubuhan Rejimen ini adalah bertujuan untuk memastikan perkhidmatan telekomunikasi penting di dalam negara dapat diselenggarakan semasa pengistiharan darurat dan semasa negara menghadapi bencana alam seperti banjir dan lain-lain. Penubuhan Rejimen ini bermula dari usul yang telah ditimbulkan di dalam sebuah mesyuarat di dalam tahun 1964 di antara Pengarah Telekom, iaitu Mr Smith dan Ketua Pegawai Semboyan, Lt Kol Erksine. Cadangan ini diusulkan atas kesedaran betapa pentingnya perkhidmatan-perkhidmatan telekomunikasi kepada pihak kerajaan semasa darurat, di mana anggota-anggota tentera adalah lebih bersesuaian dan berkesan untuk mengendalikan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Telekom ketika itu. Hasil daripada langkah permulaan ini, cadangan untuk menubuhkan Rejimen Semboyan Pakar Telekom (AW) telah disuarakan dan dikemukakan kepada pihak kerajaan. Melalui kerjasama Jabatan Telekom Malaysia dan Kementerian Pertahanan pada 1 April 1977, kerajaan telah meluluskan penubuhan Rejimen Semboyan Pakar Telekom (AW). Berikutan dengan kelulusan tersebut, kempen untuk memaklumkan kepada staf-staf Jabatan Telekom telah dijalankan pada tahun yang sama. Pada tahun 1978, kempen untuk mengambil anggota-anggota baru Rejimen telah dimulakan. Jabatan Telekom yang sebelum ini juga dikenali sebagai Telekom Malaysia Berhad (TM) mempunyai pegawai-pegawai dan anggota-anggota yang berkemampuan untuk menyelenggarakan peralatan komunikasi dan pusat-pusat operasinya dalam masa negara menghadapi bencana alam atau apabila darurat diistiharkan.

Sejak tertubuhnya Rejimen ini pada tahun 1977, Jabatan Telekom Malaysia telah dapat mengadakan Rejimen Pakar di dalam Pasukan Askar Wataniah Tentera Darat sebagaimana yang ada pada Lembaga Air, Pelabuhan, Keretapi Tanah Melayu dan Lembaga Letrik Negara (TNB). Penubuhan organisasi Rejimen ini adalah mengikut ‘Geographical Division’ Jabatan Telekom Malaysia iaitu menubuhkan sebuah skuadron bagi setiap kawasan. Kawasan-kawasan tersebut telah dibahagikan kepada Kawasan Tengah, Utara, Selatan dan Timur.

Markas Rejimen Semboyan Pakar Telekom (AW) telah diletakkan di Kuala Lumpur adalah bertujuan untuk memudahkan pentadbiran ke atas keempat-empat skuadron di bawah naungannya. Kedudukan Markas ini adalah selaras dengan kedudukan ibupejabat Telekom Malaysia Berhad. Skuadron Semboyan Pakar Telekom Ke 15 (AW) ditempatkan di Bukit Mahkamah, Kuala Lumpur. Kedudukannya di dalam Kawasan Tengah adalah untuk mengendali dan mentadbirkan pemasangan telekomunikasi dan anggota-anggota skuadron bagi negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan. Skuadron Semboyan Pakar Telekom Ke 16 (AW) diletakkan di Ibupejabat Selatan (ITK Bukit Beruang, Melaka) iaitu di dalam Kawasan Selatan. Skuadron ini adalah bertanggungjawab bagi negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Skuadron Semboyan Pakar Telekom Ke 17 (AW) bertempat di Ibu Pejabat Telekom Kawasan (ITK) Taiping, Perak. Skuadron ini bertanggungjawab untuk mentadbir dan mengendalikan telekomunikasi di negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Skuadron Semboyan Pakar Telekom Ke 18 (AW) pula ditempatkan di ITK Kuala Terengganu dan bertanggungjawab bagi negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Sejak penubuhannya, Rejimen ini hanya mempunyai seramai 4 orang pegawai tetap dan 20 orang LLP tetap serta 10 orang pegawai sukarela dan 280 orang LLP sukarela. Pertambahan anggota di dalam rejimen ini adalah berdasarkan perkembangan semasa dan juga minat anggota-anggota Telekom Malaysia Berhad untuk melibatkan diri di dalam pasukan sukarela. Walaupun ramai anggota Telekom Malaysia Berhad yang berminat untuk menyertai pasukan ini namun pengambilan dan pemilihan mereka ini adalah berdasarkan kepada jawatan dan tugas yang disandang oleh mereka. Dasar pemilihan anggota yang dipraktikkan sekarang adalah memilih mereka yang bertugas sebagai juruteknik, jurutalian dan tugas-tugas am.

Seiringan dengan perkembangan Rejimen dan pertambahan anggota, pertukaran Pegawai Memerintah dan Penolong Pegawai Memerintah juga turut berlaku. Pegawai Memerintah Rejimen ini adalah terdiri daripada pegawai-pegawai sukarela yang memegang jawatan penting di dalam Telekom Malaysia Berhad. Manakala Penolong Pegawai Memerintah adalah terdiri daripada pegawai-pegawai tetap. Selaras dengan perkembangan ini juga, pada bulan Mac 1989, Rejimen ini telah memperolehi seorang Kolonel Kehormat iaitu Kolonel Profesor Tan Sri Mohd Rashdan bin Haji Baba yang juga adalah Pengerusi Eksekutif Telekom Malaysia Berhad pada masa itu.

Sejak penubuhannya, latihan yang dilaksanakan adalah berasaskan kepada Latihan Khemah Tahunan. Latihan ini merangkumi latihan asas ketenteraan iaitu latihan kawad, senjata, menembak dan pengenalan kepada organisasi, undang-undang tentera serta membaca peta. Jangkamasa latihan yang dilaksanakan adalah selama 14 ke 15 hari.

Setelah sekian lama ditubuhkan, beberapa perkembangan dan perubahan telah dialami oleh Rejimen ini. Selaras dengan itu, pada tahun 1988, kertas cadangan dan pengubahsuaian serta penyusunan semula Rejimen telah dilaksanakan. Pengubahsuaian ini adalah mengikut keperluan dan perkembangan Angkatan Tentera Malaysia. Cadangan yang diusulkan adalah untuk mengadakan Kumpulan Rejimen Semboyan Pakar Telekom (AW) yang mengandungi enam buah Rejimen Semboyan Pakar Telekom (AW). Rejimen-Rejimen ini adalah Rejimen Semboyan Pakar Telekom Tengah, Utara, Selatan, Timur, Sabah dan Sarawak (AW).

Rejimen Semboyan Diraja Pakar Telekom (AW) berperanan untuk memastikan perkhidmatan telekomunikasi penting di dalam negara dapat diselenggarakan semasa pengisytiharan darurat dan semasa negara menghadapi bencana alam. Rejimen ini sentiasa berhubung rapat dengan Telekom Malaysia Berhad (TMB) yang kini dikenali sebagai TM memandangkan sebahagian anggota sukarela Rejimen ini adalah kakitangan TMB. Berikutan dengan peruban struktur organisasi TMB sebagai sebuah badan korporat, Rejimen ini turut juga mengalami perubahan tersebut.

Berikutan dengan perubahan struktur organisasi TMB yang semakin berkembang, struktur organisasi Rejimen yangada sekarang tidak mampu untuk menampung keperluan komunikasi seluruh Malaysia di waktu darurat atau bencana alam. Di dalam rancangan jangka panjang TMB dan untuk mengimbangi keperluan yang meningkat, satu kumpulan Pakar Telekom akan diwujudkan. Rejimen ini telah berkembang sejajar dengan perkembangan TMB. Perjawatan untuk Rejimen ini telah bertambah dari 10 Pegawai dan 280 LLP sukarela kepada 31 Pegawai dan 796 LLP sukarela. Untuk rancangan pembesaran, Rejimen telah memajukan cadangan kepada pihak atasan untuk menempatkan sebuah Skuadron di Malaysia Timur . Proses untuk menemuduga dan mengambil rekrut-rekrut sukarela baru sedang giat dilaksanakan. Dengan tertubuhnya 18 Skuadron Semboyan Diraja Pakar Telekom (AW) di Kuching, Sarawak, Rejimen ini mampu untuk mengendalikan perkhidmatan telekomunikasi penting meliputi seluruh negara apabila berlaku darurat atau bencana alam. Skaudron tersebut bertanggungjawab untuk mentadbir pusat-pusat operasi di Malaysia Timur.

Selain dari itu, 15 Skuadron Semboyan Diraja Pakar Telekom (AW) yang sebelum ini ditempatkan di Bukit Mahkamah telah dipindahkan ke Jalan Raja Chulan pada bulan Disember 1994. Usul untuk memindahkan Markas Rejimen dan 15 Skuadron Semboyan Diraja Pakar Telekom (AW) ke bangunan tersebut telah ditimbulkan oleh Penolong Pegawai Memerintah ketika itu iaitu Mej Harumugam al Suppiah. Walaubagaimanapun, hanya 15 Skuadron Semboyan Diraja Pakar Telekom (AW) sahaja yang berpindah ke bangunan tersebut manakala Markas Rejimen tetap berada di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. Sementara 16 Skuadron Semboyan Diraja Pakar Telekom (AW) turut dipindahkan dari Bukit Beruang ke Tangga Batu, Melaka.